KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah disifatkan hanya akan menambah rasa tidak percaya rakyat Sabah, kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Menurut beliau, hak berkenaan jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), malah pernah dilaksanakan sebelum dihentikan tanpa penjelasan munasabah.
“Isu ini bukan sekadar soal undang-undang, tetapi menyentuh keadilan, maruah dan kepercayaan rakyat Sabah terhadap institusi negara,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Madius berkata Sabah masih berdepan pelbagai masalah pembangunan termasuk jalan luar bandar daif, bekalan air dan elektrik tidak stabil, ratusan sekolah uzur serta kadar kemiskinan yang tinggi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan dan melaksanakan pembayaran hak 40 peratus demi pembangunan Sabah yang lebih adil dan tersusun.
