KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Selasa.
Kunjungan itu merupakan lawatan rasmi pertama Mustapha sejak dilantik ke jawatan berkenaan pada 16 Disember 2025. Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Dalam pertemuan tersebut, Hajiji menyatakan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan program pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.
Beliau turut menekankan kepentingan hubungan erat antara kedua-dua pihak dalam memperkukuh tadbir urus serta pembangunan negeri.
Pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan ADUN Dilantik, Puan Grace Lee Li Me.
