TUARAN: Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal di Kampung Minangkob, Jalan Tamparuli–Ranau, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.24 petang itu, sebuah Ford Ranger Raptor dipercayai bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha LC.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi kejadian.
“Dua mangsa lelaki yang berada dalam Ford Ranger Raptor telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba dan dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans Kementeroan Kesihatan Malaysia (KKM).
“Bagaimanapun, penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan KKM,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.30 petang.
