KOTA KINABALU: Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, supaya campur tangan segera bagi menangani isu kebajikan penduduk Kampung Sembulan yang berdepan ancaman perobohan rumah.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 106 buah rumah di kampung berkenaan dikenal pasti terlibat dalam perobohan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap nasib ratusan penduduk yang bakal kehilangan tempat tinggal.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu memastikan kebajikan penduduk terkesan diberi keutamaan sebelum sebarang tindakan diambil.
“Pelan pemindahan atau pampasan mesti dijelaskan secara terperinci kepada penduduk. Mereka perlu dimaklumkan sama ada akan disediakan penempatan alternatif atau menerima ganti rugi yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jeffery menegaskan bahawa isu pembangunan tanah bukan perkara utama, sebaliknya tanggungjawab kerajaan negeri terhadap nasib penduduk yang telah lama menetap di kawasan tersebut.
Beliau turut meminta jaminan bahawa perobohan berkenaan tidak akan menjejaskan penduduk lain di sekitar Kampung Sembulan, bukan sahaja pada masa ini malah pada masa akan datang.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar satu perbincangan muktamad diadakan bersama penduduk dan pemilik rumah sebelum sebarang tindakan perobohan dilaksanakan.
“Kita mahukan pendekatan menang-menang. Pembangunan tidak seharusnya mengorbankan kebajikan rakyat. Oleh itu, saya memohon agar perobohan ini ditangguhkan sementara sehingga persetujuan bersama dicapai,” katanya.
