LAHAD DATU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Silam, Datuk Mizma Appehdullah, berikrar untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Silam dan Lahad Datu sekiranya diberi mandat pada PRN Sabah ke-17.
Katanya, komitmen itu selari dengan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menurutnya mampu menarik lebih banyak pelaburan luar ke negeri ini.
“Dengan SMJ, lebih ramai pelabur luar akan buka kilang dan tawarkan peluang kerja kepada anak muda.
“Kita tak mahu mereka berhijrah kerana tiada tawaran di Sabah,” katanya ketika ditemui selepas program bersama belia dan pemandu e-hailing di bandar Lahad Datu.
Mizma berkata industri pelancongan di Silam juga perlu diangkat sebagai pemacu ekonomi, dan kawasan itu memerlukan wakil rakyat yang benar-benar serius menggerakkannya.
Mengulas keperluan memperkasakan belia, beliau berkata sesi libat urus bersama golongan itu sentiasa diadakan sejak sebelum pilihan raya bagi mendengar dan menyelesaikan masalah mereka.
“Pendekatan ini membantu belia menjauhi gejala tidak sihat,” katanya.
PRN Sabah ditetapkan pada 29 November, dengan undi awal 25 November.
