TAWAU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa penduduk Sabah yang berdepan masalah anak tanpa dokumentasi akibat perkahwinan tidak didaftarkan supaya segera memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya sedia membantu namun permohonan rasmi diperlukan bagi membolehkan jawatankuasa khas negeri dan persekutuan meneliti setiap kes.
Menurutnya, dua mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Sabah-KDN tahun ini telah meluluskan sebahagian permohonan mengikut lunas undang-undang.
“Ini mungkin satu permulaan kecil, tetapi landasan kita betul. Perkahwinan mesti didaftarkan. Jika tidak, anak-anak menjadi mangsa,” katanya selepas program ramah mesra pimpinan masyarakat DUN Merotai, hari ini.
Saifuddin berkata, proses permohonan perlu bermula di Jabatan Ketua Menteri sebelum dilengkapkan dengan pengesahan, termasuk daripada ketua kampung di lokasi perkahwinan.
Katanya, perkahwinan lama juga boleh didaftarkan semula melalui Jabatan Agama Islam bagi melicinkan permohonan dokumen pengenalan diri.
“Jangan hukum anak-anak. Mereka susah bersekolah, susah dapat rawatan, terpaksa bayar mahal kerana ketiadaan dokumen. Ini tanggungjawab kita untuk selesaikan,” katanya.
Sabah bakal mengadakan PRN ke-17 pada 29 November, dengan undi awal pada 25 November. Menurut SPR, seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi kali ini.
