PRN Sabah: Ketua STAR Darau bersama 1,085 ahli umum sertai PKR

KOTA KINABALU: Suasana politik Sabah kembali bergolak apabila Ketua Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Darau, Datuk Iskandar Malik, mengumumkan keluar parti bersama seluruh kepimpinan bahagian serta 1,085 ahli untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Majlis penyerahan borang keahlian itu diadakan dalam suasana penuh semangat dan turut disaksikan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, serta Timbalan Pengerusi, Datuk Peto Galim.

Mustapha Sakmud

Dalam ucapannya, Iskandar menjelaskan keputusan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya selepas mengambil kira pandangan akar umbi dan keperluan membawa perjuangan rakyat Sabah ke arah yang lebih inklusif.

“Kami membuat keputusan ini dengan penuh kesedaran dan keikhlasan.

“Kami melihat PKR sebagai wadah yang mampu menyatukan rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang kaum dan agama,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Menurut beliau, penyertaan beramai-ramai ahli STAR Darau ini adalah hasil perbincangan panjang antara pimpinan dan ahli di peringkat cawangan yang mahukan perubahan terhadap cara politik lama yang dilihat semakin jauh daripada kepentingan rakyat.

“Kami tidak menolak jasa dan perjuangan STAR, namun kami percaya masa depan Sabah perlu dibina bersama parti yang mempunyai hala tuju jelas dalam memperjuangkan keadilan sosial dan ekonomi,” tambahnya.

Sementara itu, Datuk Mustapha Sakmud menyambut baik langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai bukti bahawa keyakinan rakyat terhadap kepimpinan PKR semakin meningkat.

“Penyertaan Datuk Iskandar dan pasukannya menunjukkan bahawa PKR semakin diterima di peringkat akar umbi. Ini bukan sekadar soal jumlah ahli, tetapi tanda kebangkitan semangat baharu politik Sabah,” katanya.

Mustapha turut menegaskan bahawa PKR Sabah kini memperkukuh jentera parti di semua bahagian menjelang pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata kehadiran pimpinan berpengalaman seperti Iskandar akan memberi nilai tambah kepada usaha memperkuat struktur parti di peringkat kawasan.

Difahamkan, beberapa bahagian lain dalam STAR dijangka akan mengikut langkah serupa dalam masa terdekat, sekali gus memberi isyarat bahawa politik Sabah bakal menyaksikan pergerakan besar menjelang pilihan raya akan datang.