Jentera BN Sabah perlu digerakkan sepenuhnya – Salleh Said 

MEMBAKUT: Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri  Salleh Said Keruak menyeru jentera parti di semua peringkat supaya digerakkan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan BN di setiap kawasan yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, kekuatan jentera di peringkat akar umbi menjadi faktor utama yang menentukan kejayaan parti, selain kesepakatan dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan ahli.

Katanya, setiap ahli perlu memainkan peranan masing-masing dengan komitmen tinggi dan tidak hanya bergantung kepada pimpinan di peringkat bahagian atau pusat.

“Setiap petugas mesti turun ke lapangan, dekati rakyat dan dengar denyut nadi mereka. Hanya dengan cara itu kita dapat membina keyakinan dan memastikan BN terus diterima,” katanya.

Salleh turut menegaskan, fokus utama parti kini adalah mengurangkan politiking yang merugikan rakyat serta menumpukan kepada usaha menyatukan masyarakat demi pembangunan negeri secara menyeluruh.

Menurut beliau, kestabilan politik amat penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri Sabah dapat diteruskan dengan lebih terancang dan berkesan.

“Fokus kita ialah memastikan kemenangan BN demi kestabilan dan masa depan Sabah. Kita mahu rakyat melihat BN sebagai pilihan yang mampu membawa kemajuan sebenar,” ujarnya.