TAMBUNAN: Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan yang musnah dalam kebakaran pada 12 Oktober lalu menerima sumbangan berjumlah RM260,000 daripada Kerajaan Negeri, Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Sumbangan RM200,000 daripada Kerajaan Negeri adalah untuk pembelian kerusi, meja dan kelengkapan sekolah, RM50,000 daripada YKS serta RM10,000 daripada MUIS.
Sumbangan itu diserahkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semasa lawatannya ke sekolah berkenaan hari ini.
Guru Besar, Ahmad Subri Janing menerima sumbangan tersebut.
YKS turut menyerahkan bantuan dan sumbangan kepada 20 pelajar asrama dan 100 murid yang terjejas akibat kebakaran.
Ketua Menteri berkata sudah tiba masanya SAN Pekan Tambunan yang ditubuhkan pada tahun 1970-an mempunyai bangunan tetap sendiri dan atas permintaan SAN saya mencadangan supaya sekolah dibina semula.
“Kerajaan Negeri sekarang akan meluluskan keperluan pembiayaan membina sekolah baharu dan saya datang sendiri hari ini untuk melihat bagaimana kami boleh membantu,” katanya.
Dua bangunan termasuk bilik darjah dan asrama musnah sepenuhnya, manakala kuarters guru sekolah turut musnah dalam kebakaran yang berlaku pada petang 12 Oktober itu.