PRN Sabah: Warisan Janji Selesai Masalah Air Dalam Setahun Pentadbiran – Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berjanji akan menyelesaikan isu bekalan air yang berlarutan di Sabah dalam tempoh setahun sekiranya parti itu diberi mandat mentadbir semula negeri.

Beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada usaha menaik taraf sistem rawatan air atau water treatment di seluruh negeri, termasuk di kawasan strategik seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), hospital serta hotel yang sering berdepan kekurangan bekalan air.

Menurutnya, isu air bukan sahaja membebankan rakyat, malah menjejaskan sektor pendidikan, kesihatan dan pelancongan yang amat bergantung kepada keperluan asas tersebut.

“Kita tidak boleh biarkan pelajar, pesakit dan pelancong berhadapan dengan situasi kekurangan air setiap hari.

“Loji rawatan air mesti ditingkatkan dan sistem pengagihan perlu dipantau dengan lebih teliti,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Mohd Shafie merupakan Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Warisan juga akan meneliti semula pengurusan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi memastikan kecekapan agensi berkenaan dapat ditingkatkan melalui penyelenggaraan berkala serta penggunaan teknologi baharu.

Katanya, antara masalah utama yang dikenal pasti termasuk kebocoran paip lama dan ketidakcekapan sistem pengedaran air yang menyebabkan banyak kawasan tidak menerima bekalan mencukupi walaupun sumber air sebenarnya memadai.

“Selain menaik taraf loji, kita juga perlu membaiki paip-paip bocor. Banyak air hilang di pertengahan jalan sebelum sampai ke pengguna.

“Itu antara punca sebenar masalah yang mesti diselesaikan segera,” tegasnya.

Dalam masa sama, Mohd Shafie menegaskan bahawa penyelesaian masalah air bukan isu politik, sebaliknya tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terjamin.

“Kita tidak mahu rakyat terus menderita hanya kerana kelemahan pengurusan. Jika diberi peluang, Warisan akan pastikan masalah air ini selesai dalam tempoh setahun,” katanya.