Konsulat China Nafi Keluarkan Amaran Kepada Kerajaan Sabah

KOTA KINABALU: Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu menafikan laporan yang mendakwa Kedutaan Besar China di Malaysia mengeluarkan amaran keras kepada kerajaan negeri Sabah berhubung isu bekalan air.

Dalam satu kenyataan, Konsulat Jeneral menjelaskan maklumat tersebut adalah tidak benar dan menegaskan bahawa tiada sebarang amaran atau ancaman pernah dikeluarkan kepada kerajaan negeri, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atau mana-mana pihak berkuasa tempatan.

Menurut kenyataan itu, pihak kedutaan juga tidak pernah menyebut mengenai amaran perjalanan seperti yang didakwa.

Konsulat Jeneral China menegaskan mereka akan terus berpegang kepada semangat persahabatan dan kerjasama saling menguntungkan antara China dan Malaysia, termasuk memperkukuh hubungan dengan Sabah dalam bidang pelancongan, perdagangan dan kebudayaan.

“Kami juga akan terus memudahkan pertukaran rakyat serta kerjasama peringkat tempatan antara kedua-dua negara,” jelas kenyataan itu.

Konsulat turut menyeru media agar melapor berdasarkan fakta dan mengelak daripada menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan hubungan baik antara China dan Malaysia.