PAPAR: Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen berterusan membantu Sabah menyelesaikan isu legasi berkaitan bekalan air dan elektrik menerusi Peruntukan Pembangunan (DE) sebanyak RM6.9 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, walaupun kawal selia air dan tenaga kini di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan tetap komited bekerjasama rapat memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terjamin.
Beliau berkata, kawal selia bekalan air telah lama menjadi bidang kuasa kerajaan negeri, manakala kawal selia tenaga (elektrik) diambil alih secara rasmi bermula 2024. Namun, katanya, kerajaan Persekutuan tidak lepas tangan dan terus membantu menyelesaikan cabaran besar itu demi kepentingan rakyat.
“Dua komponen ini — air dan elektrik — bukan sahaja penting untuk kesejahteraan rakyat, tetapi juga prasyarat utama pembangunan ekonomi Sabah. Tanpa kestabilan bekalan, sukar untuk melonjakkan kemajuan negeri,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, menerusi Belanjawan Persekutuan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri semalam (10 Oktober), kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi sektor tenaga termasuk RM880 juta subsidi tarif, bahan api dan solar berskala besar, peningkatan ketara berbanding RM700 juta pada tahun sebelumnya.
Selain itu, RM189.8 juta diperuntukkan di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, manakala RM128 juta lagi disalurkan kepada Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
”Projek Rangkaian Grid Elektrik Southern Link turut menerima RM765 juta bagi pembinaan talian sejauh 330 kilometer meliputi Sipitang, Tenom, Kalabakan dan Tawau,” jelasnya.
Bagi sektor air pula, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2026 untuk menaik taraf sistem bekalan air termasuk pemasangan paip baharu di Tawau serta penggantian paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. Projek ini kini dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada tahun depan.
“Komitmen besar ini membuktikan kesungguhan kerajaan Persekutuan membantu Sabah menangani isu air dan tenaga yang telah lama berlarutan, demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya.