TANJUNG ARU: Sukarelawan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tanjung Aru turun padang mengagihkan bahan atap rumah dan kayu kepada penduduk yang terkesan akibat ribut dan hujan berlarutan sejak minggu lalu.
Program bantuan berkenaan diketuai Dr. Ritchie Jay Cheng bersama pasukan sukarelawan PGRS Tanjung Aru selepas menerima aduan penduduk mengenai kerosakan rumah di sekitar Tanjung Aru dan Sembulan.
Dr. Ritchie berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha PGRS mendekati masyarakat dan memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi keutamaan.
“Bagi kami, politik bukan hanya ucapan di pentas tetapi tindakan nyata yang menyentuh hati rakyat. Bantuan ini adalah sebahagian kecil daripada amanah untuk membela masyarakat Tanjung Aru dan Sembulan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang tidak mengenal penat lelah membantu keluarga terkesan akibat bencana berkenaan.
Menurutnya, bantuan itu diharap dapat memberi sedikit kelegaan kepada penduduk sementara menunggu penyelesaian jangka panjang.
PGRS Tanjung Aru komited meneruskan pendekatan politik matang dan membina, dengan bertindak sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan.
“Keutamaan kami adalah memastikan setiap rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat pembelaan sewajarnya ketika berdepan cabaran hidup,” katanya.
