Dewan Anak Merotai dan Lampu Solar Terangi Kehidupan Penduduk DUN Merotai – Hajiji

MEROTAI – Penduduk Merotai kini menikmati kemudahan baharu dengan pembinaan Dewan Anak Merotai serta pemasangan lampu solar LED di sepanjang jalan utama.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Projek bernilai hampir RM4 juta ini diumumkannya semasa sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Harapan Rakyat Sabah Februari lalu.

James Ratib menyampaikan pewartaan kampung kepada wakil penduduk.

Katanya, daripada jumlah itu, RM2 juta diperuntukkan untuk pembinaan dewan tertutup berhawa dingin manakala RM1.9 juta untuk pemasangan lampu solar dari persimpangan Jambatan Putih ke Kampung Sungai Udin.

“Setakat ini, sebanyak 70 peratus lampu solar LED telah siap dipasang dan berfungsi, menjadikan lebih separuh jalan utama Merotai kini terang benderang pada waktu malam.

“Kita yakin projek ini meningkatkan keselamatan penduduk terutamanya ketika malam,” katanya di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

James Ratib bersama penerima pewartaan kampung dalam majlis hari ini.

Hajiji berkata, Majlis pecah tanah Dewan Anak Merotai merupakan permulaan kepada pusat komuniti yang bakal menjadi nadi aktiviti sosial dan ekonomi setempat.

“Dewan berhawa dingin itu diharap menjadi pusat pertemuan masyarakat untuk program keagamaan, latihan belia, bengkel kemahiran serta aktiviti lain yang memupuk perpaduan.

“Selain itu, dewan juga berpotensi menjadi platform keusahawanan melalui ekspo jualan, pasar komuniti dan seminar keusahawanan tempatan.” jelasnya Hajiji.

Menurutnya, Projek ini turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sepanjang pembinaan serta aspek penyelenggaraan di masa depan.

“Inisiatif ini sebahagian komitmen Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memperkasakan pembangunan luar bandar.

“Pelaksanaan SMJ sejak hampir lima tahun lalu terbukti mampu memulihkan ekonomi dan menjaga kesejahteraan rakyat walaupun berdepan cabaran,” katanya.

Hajiji menyeru rakyat terus bersatu padu dan memberi sokongan kepada GRS demi merealisasikan Sabah maju dan sejahtera.