KOTA KINABALU – Kerajaan negeri komited memperkukuh industri halal sebagai salah satu sektor berpotensi besar untuk menjana ekonomi Sabah serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, industri halal kini berkembang pesat dengan nilai dagangan global mencecah berbilion dolar dan menjadi penyumbang utama dalam perdagangan dunia.
“Industri halal hanya akan berjaya jika kita bergerak bersama. Dengan adanya sokongan menyeluruh, produk usahawan Sabah berpotensi besar menembusi pasaran luar negara,” katanya ketika merasmikan Program MyHalal Day Sabah 2025 di sini, semalam.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyediakan peruntukan RM5,000 kepada usahawan kotej dan mikro dalam bentuk peralatan asas.
Namun katanya, usahawan yang berminat perlu terlebih dahulu mengikuti Kursus Pengendalian Makanan Dalam Islam yang dikendalikan MUIS Halal Hub sebagai syarat kelayakan.
“Pensijilan halal bukan sahaja lambang kualiti dan kebersihan, malah ia kunci utama menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa. Justeru, industri halal di Sabah khususnya pengusaha IKS akan terus diperkasa menerusi MUIS Halal Hub,” jelasnya.
Beliau yakin penganjuran MyHalal Day mampu melahirkan lebih ramai usahawan halal berdaya saing sekali gus menjadikan Sabah antara pemain utama industri halal serantau. Program selama tiga hari itu turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk klinik halal, kursus pengendalian makanan, ceramah digital halal dan perkongsian perbankan mengenai bantuan pensijilan halal.