SANDAKAN – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan calonnya wajar dipertaruhkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong bagi memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merampas kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah berkata, hasil beberapa siri lawatan di kawasan itu menunjukkan parti berkenaan kini menguasai kira-kira 68 peratus sokongan rakyat.
“Gagasan Rakyat berpotensi besar menang di Sekong sekali gus menamatkan penguasaan Parti Warisan. Ini berdasarkan maklum balas akar umbi yang kita peroleh,” katanya ketika melawat War Room Gagasan Rakyat Sekong, semalam.
Masiung yang juga Pengerusi Zon 10 Sandakan berkata, parti pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kini menjadi pilihan utama masyarakat pelbagai lapisan di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keyakinan itu tidak akan tercapai sekiranya calon daripada parti lain dalam GRS atau Pakatan Harapan (PH) dipertandingkan di DUN Sekong.
“Laporan daripada tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) jelas menunjukkan Gagasan Rakyat menguasai kawasan ini sebagai tulang belakang GRS. Statistik juga membuktikan parti kita jauh meninggalkan pesaing lain,” katanya.