5,123 pelajar baharu daftar di UMS sesi 2025/2026

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima seramai 5,123 pelajar baharu bagi sesi kemasukan 2025/2026 dengan pendaftaran berlangsung pada 27 dan 28 September.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansor berkata, daripada jumlah itu, 4,167 ditempatkan di Kampus Kota Kinabalu, 734 di Kampus Antarabangsa Labuan dan 222 di Kampus Sandakan.

“Majoriti pelajar adalah dari Sabah iaitu 3,648 orang (71.21%), manakala 928 (18.11%) dari Semenanjung, 453 (8.84%) dari Sarawak, 73 (1.42%) dari Labuan dan 21 pelajar antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, pelajar antarabangsa itu datang dari lapan negara iaitu China, Jepun, Korea, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia dan Timor Leste.

Beliau berkata, daripada keseluruhan jumlah, 1,791 orang atau 34.96 peratus adalah lelaki, manakala 3,332 orang atau 65.04 peratus adalah perempuan.

“Pengambilan kali ini turut melibatkan 2,830 pelajar B40 menerusi UPUOnline, lapan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) serta 12 atlet sukan,” jelasnya.

Kasim turut memaklumkan semua pelajar baharu akan mengikuti Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 1 Oktober bagi membiasakan diri dengan kehidupan kampus.

Beliau menambah, kemudahan kolej kediaman termasuk bekalan air berada pada tahap baik selain proses pendaftaran lebih teratur hasil penetapan masa berperingkat untuk mengelakkan kesesakan.