34 Tahun BN Perintah, Sabah Masih Ketinggalan – Mazlan

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Datuk Mazlan Joehari Manan menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak wajar berbangga kononnya berjaya memajukan Sabah sepanjang 34 tahun mentadbir.

Katanya, walaupun ada pembangunan, negeri ini masih jauh ketinggalan berbanding Semenanjung kerana tumpuan lebih diberikan di sana.

“Janganlah BN banggakan Lebuhraya Pan Borneo yang hingga kini belum siap sedangkan di Semenanjung rakyat sudah lama menikmati lebuhraya moden.

“Begitu juga dengan SOGIP, kerana di sana sudah berpuluh taman perindustrian diwujudkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa BN telah meletakkan asas kemajuan di Sabah, manakala kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya ‘baru belajar mentadbir’.

Mazlan berkata, walaupun baru tiga tahun mentadbir, kerajaan GRS sudah memperkenalkan banyak inisiatif terus kepada rakyat termasuk memperkukuh ekonomi negeri.

“Usaha ini penting supaya suatu hari nanti Sabah dapat berdiri di atas kaki sendiri tanpa terlalu bergantung kepada Putrajaya,” ujarnya.

Beliau turut menyeru rakyat dan pemimpin tempatan supaya bersatu serta tidak membenarkan pihak luar kembali menguasai Sabah.