KAWANG: Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan kepentingan perpaduan politik di kawasan majoriti Islam seperti Kawang, dengan menekankan bahawa parti lebih utama berbanding individu.
Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kekuatan sebenar politik tidak terletak pada personaliti semata-mata, sebaliknya pada parti yang menjadi wadah penyatuan rakyat.
“Kawang mesti terus menunjukkan bahawa perpaduan hanya tercapai apabila kita berhimpun di bawah sebuah parti yang kukuh.
“Individu boleh bertukar ganti, tetapi parti kekal sebagai landasan perjuangan bersama,” katanya ketika berucap pada program Radu Tatap Radu (RTR) di sini.
Menurutnya, perpecahan hanya akan melemahkan masyarakat, manakala kesetiaan terhadap parti akan menjamin kestabilan dan kemajuan yang berterusan.
Salleh turut menyeru golongan muda agar memahami bahawa masa depan mereka lebih terjamin melalui penglibatan dalam wadah politik yang stabil dan bersatu.
Beliau berkata, RTR bukan sekadar ruang untuk pertemuan, tetapi membawa makna ikrar bersama bahawa masyarakat Kawang berdiri teguh dalam perjuangan politik yang dibawa BN.
“RTR ini bukan sekadar pertemuan, tetapi ikrar – bahawa Kawang berdiri teguh bersama kita dalam perjuangan ini,” tegasnya.
