Pekerja maut tertimbus tanah di UMS

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas tertimbus runtuhan tanah sedalam 10 kaki ketika menjalankan kerja menggali dan menanam paip di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS), petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, mangsa berusia 22 tahun dikatakan sedang melakukan kerja penggalian sebelum berlaku runtuhan tanah yang menghempapnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I Ordine Gilu berkata, sepasukan 12 anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah pacuan empat roda dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang mangsa tertimbus sepenuhnya. Anggota kemudian bertindak menggali tanah dan berjaya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan stretcher.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Turut berada di lokasi ialah anggota polis dan pegawai kesihatan bagi membantu operasi. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.50 petang.