TONGOD: Kerja pembinaan Kompleks Sukan Tongod yang tergendala sejak awal Ogos lalu perlu segera disiapkan dengan pelantikan kontraktor baharu.
Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut, Willyfous Darinsok berkata, langkah itu penting selepas kontrak syarikat asal ditamatkan berikutan kegagalan menyiapkan projek bernilai RM7 juta berkenaan.
Katanya, projek yang kini dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ itu turut mendapat perhatian serius Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
“Masiung mengambil pendekatan tegas dengan menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menamatkan kontrak syarikat tersebut bagi membolehkan kontraktor baharu dilantik.
“Lebih 10 kali saya mengiringi beliau meninjau tapak projek dan memberi amaran kepada kontraktor kerana kemajuan kerja perlahan walaupun telah diberi empat kali lanjutan masa (EOT),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kelewatan projek itu menimbulkan pelbagai spekulasi serta tuduhan negatif terhadap wakil rakyat Kuamut selain dimanipulasi pihak pembangkang untuk menabur fitnah.
Sehubungan itu, Willyfous yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Sukan Sabah menggesa KBS mempercepatkan proses tender semula agar kompleks berkenaan dapat disiapkan segera untuk kegunaan masyarakat setempat.