Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat Setiausaha Persekutuan Sabah yang Baharu

KOTA KINABALU: Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Datuk Mohd. Razali Wahab, memulakan tugas rasmi beliau dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Menara Kinabalu semalam.

Pelantikan Mohd. Razali berkuat kuasa pada 2 September 2025, menggantikan Datuk Seri Rosli Isa yang bersara pada 26 Ogos lalu selepas menamatkan khidmat cemerlang dalam perkhidmatan awam.

Sebelum menjawat jawatan terbaharu ini, Mohd. Razali merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Persediaan Dasar) di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di mana beliau memainkan peranan penting dalam merancang dasar pengurusan bencana di peringkat nasional.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin berbincang mengenai pelbagai isu pembangunan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah, termasuk usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Pelantikan Mohd. Razali dilihat sebagai langkah positif ke arah memperkasa hubungan dua hala antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri.