KOTA KINABALU: Keperluan mewujudkan Ordinan Anti Buli (Zara Law Ordinance) di Sabah disifatkan sebagai langkah tepat bagi menangani budaya buli yang semakin membimbangkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik berkata, sudah tiba masanya satu undang-undang khusus diwujudkan bagi membendung perbuatan buli, bukan sahaja di sekolah.
Menurutnya, malah ia perlu melibatkan di semua peringkat termasuk tadika, jabatan kerajaan dan institusi lain.
“Budaya buli semakin meruncing dan rakyat kini bersuara melalui perhimpunan aman.
“Tragedi melibatkan Allahyarham Zara sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa buli adalah jenayah dan pelakunya wajar dihukum,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang mencadangkan Sabah menggubal ordinan tersendiri jika kerajaan Persekutuan masih belum melaksanakannya.
Robert berkata, kesan buli tidak boleh dipandang remeh kerana ia menjejaskan kesihatan mental mangsa, menyebabkan ketakutan ke sekolah, ponteng, dan kemerosotan prestasi pelajar.
“Jika Persekutuan belum bersedia, Sabah boleh mencadangkan ordinan ini di Dewan Undangan Negeri dengan perincian lebih menyeluruh sebelum digazetkan,” katanya.