TAWAU: Golongan belia di daerah ini diseru agar terus memberi sokongan padu kepada kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan negeri Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yu Fah, berkata anak muda memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negeri kerana mereka bukan sahaja merupakan pewaris masa depan, malah aset penting yang mampu menjadi penggerak utama kepada perubahan.

Menurut beliau, belia tidak seharusnya hanya memerhati dari jauh, sebaliknya perlu melibatkan diri secara aktif dalam usaha kerajaan membangunkan negeri ini dari pelbagai aspek, termasuk pendidikan, ekonomi, infrastruktur dan sosial.
“Kita mahu anak muda berdiri bersama kerajaan. Jangan jadi pemerhati semata-mata. Mereka perlu berani tampil ke hadapan sebagai penyumbang dan penggerak utama pembangunan,” katanya ketika merasmikan Program Motor Day 3.0 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tawau, di sini, pada Sabtu.
Program tahunan anjuran komuniti belia bersama kelab permotoran setempat itu berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta dari seluruh daerah Tawau dan kawasan berhampiran seperti Semporna dan Kunak.

Acara yang bermula seawal jam 8 pagi itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti konvoi motosikal berkuasa tinggi, pameran keselamatan jalan raya oleh pihak berkuasa, sesi ‘meet and greet’ bersama pemimpin, serta pertandingan motosikal klasik dan ‘custom’.
Tan Sri Liew berkata, program seperti ini bukan sahaja menjadi medium riadah yang sihat untuk anak muda, malah turut membuka ruang kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin dan agensi kerajaan.
“Motor Day 3.0 ini menjadi satu platform penting untuk kita dengar sendiri suara belia. Mereka boleh sampaikan pandangan, cadangan serta isu-isu yang mereka hadapi secara terus kepada pihak bertanggungjawab,” jelasnya lagi.
Beliau turut memuji usaha penganjur dan sambutan menggalakkan daripada golongan muda yang menurutnya membuktikan kesedaran belia terhadap tanggungjawab sosial dan peranan mereka dalam membantu membina masa depan negeri Sabah.
“Saya yakin, dengan semangat seperti ini, Sabah akan terus maju. Belia kita bukan sahaja aktif dalam aktiviti riadah seperti permotoran, malah menunjukkan kesungguhan dalam menyokong pembangunan dan kepimpinan negeri,” katanya.