PBS Tekad Perkukuh GRS Demi Hak Sabah – Dr Joachim

RANAU; Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan parti-parti tempatan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi memperjuangkan hak dan kepentingan negeri ini.

Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, langkah itu selari dengan model politik di Sarawak di mana parti-parti lokal bersatu di bawah satu gabungan kukuh, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kita selalu dengar netizen kata Sabah perlu mencontohi Sarawak. Inilah sebenarnya yang kita cuba lakukan. Kita bergabung dengan parti lokal untuk menuntut hak-hak Sabah meskipun ada parti yang tidak menyumbang kerusi,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, PBS berterima kasih kerana dalam tempoh lima tahun lalu, parti itu dapat bekerjasama dengan rakan-rakan politik lain yang berkongsi objektif, matlamat dan tujuan memperjuangkan keadilan serta kepentingan wilayah Sabah.

Mengulas persepsi bahawa PBS mahu bergerak sendirian, Dr. Joachim menegaskan parti itu kini memilih untuk kekal bersama GRS demi mengelakkan perpecahan politik yang boleh melemahkan suara Sabah.

“Ya, PBS dahulu pernah memerintah secara solo. Namun keadaan politik sekarang sangat berbeza. Lebih baik kita bersatu daripada berpecah kerana perpecahan hanya merugikan dan memberi manfaat kepada lawan,” tegasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur bersama serta tiga bahagian terbabit yang akan menghantar perwakilan ke kongres PBS akan datang, yang disifatkan sebagai platform penting untuk memperkukuh solidariti parti.

Dr. Joachim yakin GRS berpotensi menjadi gabungan dominan di Sabah dan sekiranya diberi mandat sekali lagi, mampu meningkatkan hasil negeri serta memperkukuh pembangunan demi kesejahteraan rakyat.