Kepimpinan Hajiji Kukuh, Berjaya Tangani Cabaran Negeri

KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) menegaskan bahawa kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kekal kukuh serta berwibawa dalam mentadbir negeri meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Ketua Penerangannya, Madiansah Ms Siegar berkata, pentadbiran Hajiji menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memberi tumpuan kepada pembangunan asas rakyat walaupun berdepan kritikan.

Beliau berkata, antara pencapaian penting adalah pelaksanaan projek pembaikan jalan utama di seluruh negeri termasuk projek Jalan Kimanis-Keningau yang dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan barat Sabah.

“Kerajaan juga sedang melaksanakan pelaburan besar dalam tenaga boleh diperbaharui seperti loji hidroelektrik dan solar bagi menangani isu bekalan elektrik yang telah lama membelenggu Sabah.

“Selain itu, dua loji rawatan air di Papar dan Sandakan kini dalam fasa akhir pembinaan dan bakal menyumbang kepada penyelesaian masalah air di negeri ini,” katanya

dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Madiansah yang juga Ahli Majlis Tertinggi PHRS menyentuh isu pengangguran yang menurutnya sedang ditangani melalui pelbagai program latihan kemahiran dan sokongan kepada usahawan mikro.

Menurut beliau, data rasmi menunjukkan peningkatan penyertaan belia dalam bidang latihan vokasional, sekali gus memberi harapan kepada penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan.

Mengulas mengenai isu integriti dan lesen mineral, beliau berkata kerajaan Sabah di bawah GRS tegas dalam menangani sebarang salah laku dengan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil.

“GRS turut membentangkan Pelan Strategik Sabah Maju Jaya dengan memberi fokus kepada pembangunan digital, pelancongan, pertanian moden dan perindustrian berteknologi tinggi.

“Hasilnya, Sabah berjaya menarik pelaburan asing meningkat sebanyak 25 peratus tahun lalu, satu petanda keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan ekonomi negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Suhaimi Nasir yang didakwa kurang bersuara kebelakangan ini khususnya berkaitan isu di kawasannya.

Beliau menegaskan bahawa Sabah memerlukan kepimpinan yang stabil dan fokus terhadap pembangunan negeri, bukannya kritikan yang boleh melemahkan semangat rakyat.

“Kami menyeru semua pihak agar bersama-sama menyokong kepimpinan sedia ada demi kemajuan dan kesejahteraan Sabah,” katanya.