KOTA KINABALU: Operasi bersepadu penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) melalui Ops Selamat Paru-Paru (Ops PaPa) akan menekankan kesalahan yang memberi kesan mudarat akibat rokok dan vape.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. William Gotulis berkata, perkara itu merangkumi aktiviti pematuhan kawasan larangan, pemasaran dan pengiklanan, promosi, tajaan, penjualan produk dan penggunaan tembakau terhadap orang belum dewasa (OBD).
“Ops PaPa juga akan menekankan aktiviti advokasi terhadap penjualan, pendaftaran dan pameran produk merokok di premis jualan.
“Oleh itu, premis-premis wajib memaparkan papan tanda larangan yang baharu dan patuhi tatacara jualan,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Ops PaPa (Operasi Bersepadu) Penguatkuasaan Akta 852 di Wisma Tun Fuad semalam.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah, Datuk James Ratib menyempurnakan majlis itu semalam.
Dalam pada itu, kata WIlliam, Ops PaPa melibatkan pegawai-pegawai penguatkuasa dari JKNS, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan kastam, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Komitmen ini selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan orang awam terus dilindungi daripada bahaya produk merokok bagi menjamin kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Dewan Rakyat terdahulu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di peringkat dasar pada November 2023 meskipun peruntukan generasi penamat rokok (GEG) digugur daripada RUU tersebut.
RUU itu sepatutnya melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.
Bagaimanapun, pada 18 November 2023, Jabatan Peguam Negara (AGC) negara menegaskan peruntukan berkenaan RUU itu boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Akta 852 kemudian diwarta dan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024 bertujuan melindungi golongan muda dan kesihatan awam daripada bahaya produk merokok seperti rokok dan vape dengan mengawal penjualan, promosi, dan paparan produk tersebut di pelbagai platform.
Selepas pewartaannya, perkara utama dalam Akta 852 antaranya larangan jualan produk rokok kepada individu di bawah umur 18 tahun tanpa peruntukan khusus tentang GEG.
