KOTA KINABALU: Jabatan kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan sejumlah RM191,950 jumlah kompaun dikenakan merangkumi semua jenis kesalahan selepas penguatkuasaan terhadap Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 di negeri itu.
Sejak kerajaan mewartakan akta itu pada Oktober tahun lalu, JKNS menjalankan 1,702 operasi di Sabah dengan bilangan notis sebanyak 5,567 diikuti 932 penguatkuasaan ke atas orang belum dewasa (OBD) yang berumur bawah 18 tahun.
Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, dengan penguatkuasaan bersepadu Operasi Selamat Paru-Paru (Ops PaPa) di peringkat negeri, beliau menyokong usaha membanteras penggunaan produk tembakau terutama vape.
“Saya menyeru semua jabatan kerajaan terus memberi komitmen dalam menjayakan akta ini. Semoga kerjasama antara pelbagai pihak terutama pegawai penguatkuasa dari pelbagai agensi diperkukuh,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Ops PaPa (Operasi Bersepadu) Penguatkuasaan Akta 852 di Wisma Tun Fuad semalam.
Ops PaPa menekankan aspek pematuhan terhadap larangan pengiklanan, promosi dan penajaan produk merokok, kawalan penjualan dan pembungkusan produk tersebut selain daripada larangan dan vape di kawasan larangan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan inisiatif penguatkuasaan secara bersepadu dengan pelbagai agensi yang menerapkan konsep Whole of Nations bermula 1 Ogos lalu bertujuan memperkukuh pelaksanaan Akta 852.
