Peguam ibu Zara Qairina kecewa pasukan guaman remaja tertuduh jadi pihak berkepentingan

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini membenarkan permohonan pasukan peguam mewakili Noraidah Lamat, sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian anaknya, Zara Qairina Mahathir yang bermula pada Rabu depan.

Ini bermakna, prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina, 13, akan diteruskan seperti dijadual pada 3 dan 4 September ini di hadapan koroner baharu.

Hal itu selepas mahkamah menolak permohonan penangguhan inkues oleh pasukan peguam mewakili lima remaja tertuduh yang didakwa terlibat kes buli Allahyarhamah pada 20 Ogos lalu.

Sehubungan itu, kebenaran itu sekaligus memberi hak kepada Noraidah untuk mengakses dokumen daripada pihak pendakwaan dan menyoal balas saksi, namun tertakluk kepada empat syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun, mahkamah turut membenarkan barisan peguam mewakili kelima-lima remaja berkenaan membuat permohonan sama menjadi pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.

Pihak berkepentingan dalam prosiding mahkamah ialah orang atau pihak yang ada kaitan penting dengan kes tersebut, walaupun bukan plaintif atau defendan utama.

Azreena semasa bersidang memaklumkan, Hakim koroner Amir Shah Amir Hassan akan menggantikan beliau dalam prosiding itu nanti.

Barisan peguam yang mewakili Noraidah ialah Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, dan Farrah Nasser.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Pegawai Pengendali Inkues, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.

Pihak kerajaan, Hal Ehwal Wanita diwakili oleh Noor Azah Abd Rahman, manakala Sabah Law Society melalui presidennya, Adrian Cham, hadir sebagai peguam pemerhati.

Peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan hadir sebagai peguam pemerhati bagi kanak-kanak tertuduh pertama, manakala Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah pula bertindak sebagai peguam pemerhati bagi kanak-kanak tertuduh kedua hingga kelima.

Sementara itu, Shahlan ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihak kecewa kerana semua tertuduh dibenar sebagai pihak berkepentingan walaupun bantahan sudah dikemukakan oleh pihaknya dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Walaubagaimanapun, kami menghormati keputusan mahkamah,” katanya.

Shahlan berkata, dokumen berkaitan daripada pihak pendakwaan dijangka diserah selewat-lewatnya pada 2 September, manakala senarai saksi diperoleh pada keesokan harinya.

Sebelum ini, Koroner Azreena menetapkan prosiding inkues pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September depan.

Inkues dijangka memanggil beberapa saksi penting termasuk pegawai perubatan, pakar forensik, serta individu terakhir yang dilihat bersama Zara sebelum kematiannya.

Pada 20 Ogos lalu lima remaja dihadapkan di mahkamah kanak-kanak, di sini, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah sekitar pukul 4 pagi pada 16 Julai lalu.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), Kota Kinabalu, namun disahkan meninggal dunia pada keesokannya harinya.

Kematian pelajar remaja itu mendapat liputan meluas termasuk di media sosial apabila ia dikaitkan dengan dakwaan perbuatan buli di sekolah terbabit.