TONGOD: Empat parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut bersiap sedia kini berada menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Pengerusi GRS Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, beliau yakin mempertahankan kerusi sekali gus menambah majoriti kemenangan.
Katanya, parti komponen terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan USNO, sudah melengkapkan jentera di semua peringkat.
“Gerak kerja GRS di kawasan Kuamut sudah digerakkan sejak tiga tahun lalu dan bukan hanya bergantung kepada laporan Sekretariat War Room semata-mata.
“Misi kita adalah mempertahankan kerusi GRS di Kuamut dengan majoriti lebih besar. Sebagai langkah kesiapsiagaan, gerak kerja parti sudah lama berjalan secara berterusan di seluruh kawasan,” katanya di sini semalam.
Masiung merupakan Naib Presiden Gagasan Rakyat berkata, jawatankuasa bersama turut dibentuk di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memastikan persiapan kempen pilihan raya berjalan teratur dan lancar.
Katanya, seramai 300 ahli jawatankuasa jentera utama GRS hadir pada sesi ceramah dan taklimat akhir itu serta berikrar memberikan sokongan padu kepada calon GRS yang bakal diumumkan kelak.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian komponen GRS Kuamut iaitu Mandik Yadam (STAR), James Aik (USNO) dan Dusin Janis (PBS).
