Bon RM1b: WARISAN selesaikan hutang walau berdepan tekanan kewangan – Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Parti WARISAN (WARISAN) mempertahan kenyataan tentang penyelesaian hutang lapuk kerajaan negeri atau bon berjumlah RM1 bilion di tengah tengah situasi kerajaan negeri mendakwa Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab menyelesaikan hutang tersebut.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, Menteri kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun cuba menggambarkan yang bayaran bon itu berlaku dengan sendiri seolah-olah WARISAN tidak berbuat apa-apa semasa mentadbir kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, dakwaan Masidi bahawa bayaran bon itu sebagai kemenangan BN tidak berasas kerana menyimpang daripada fakta.

“Beliau cuba menggambarkan bayaran balik tersebut berlaku dengan sendiri seakan-akan WARISAN hanya duduk diam dan hutang itu terbayar sendiri. Hakikatnya, ini tidak benar.

“Bayaran balik ini tidak berlaku secara automatik, sebaliknya hasil daripada disiplin kewangan ketat dan pengurusan negeri secara bertanggungjawab walaupun dalam tempoh singkat dan tekanan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Masidi dalam kenyataan menolak dakwaan Mohd Shafie bahawa pentadbiran Warisan sebelum ini berjaya melangsaikan hutang negeri berjumlah RM1 bilion pada 2019.

Katanya, bayaran balik hutang itu bukan hasil pengurusan kewangan kerajaan WARISAN, sebaliknya pelan terancang dilaksana oleh pentadbiran BN.

Katanya, bon RM1 bilion dikeluarkan pada Disember 2014 dengan Bank Negara Malaysia mensyaratkan negeri menubuhkan Dana Penampan (Sinking Fund) khas bagi memastikan bayaran balik dapat dibuat.

Di bawah terma bon itu, negeri diwajibkan mendeposit RM200 juta setiap tahun ke dalam dana tersebut selama lima tahun sehingga 2019 dan apabila pentadbiran Warisan mengambil alih pentadbiran pada 2018, sebahagian besar dana yang diperlukan untuk pembayaran balik sudah tersedia.

Shafie membangkitkan semula isu bon dalam ucapannya semasa program DSSA bersama warga Cina N. 25 Kepayan baru-baru ini yang mengundang rasa tidak puas hati GRS.

Pada Disember 2020 ketika penggulungan perbahasan Belanjawan Sabah 2021 sidang DUN Sabah, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menafikan dakwaan WARISAN bon hutang kerajaan negeri RM1 bilion dilangsaikan dengan sekali bayaran pada 2019.

HANYA RM400 JUTA DALAM ‘SINGKING FUND’

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, hanya terdapat RM400 juta dalam Dana Pembayaran Balik Bon iaitu setahun sebelum bon matang, menyaksikan hanya 40 peratus daripada apa yang diperlu untuk membayar balik prinsipal bon (belum termasuk faedah yang jika dikira keseluruhan melebihi RM1 bilion).

Jelasnya, ini bercanggah dengan kenyataan Masidi yang BN diwajibkan memperuntukkan RM200 juta setahun ke dalam Dana Pembayaran Balik Bon dari 2014 hingga 2019, jauh sekali memperuntukkan RM1 bilion.

Katanya, pada 2018, baki utama yang masih perlu dibayar adalah RM600 juta yang perlu dicari dalam tempoh beberapa bulan.

“Ini bermaksud WARISAN perlu mendapatkan bukan sahaja baki prinsipal RM600 juta, malah dana tambahan untuk menampung faedah. Semuanya perlu diperolehi dalam tempoh setahun selepas mengambil alih kerajaan,” katanya.

WARISAN TINGKATKAN DANA RM400j KEPADA RM1b

Katanya, melalui pengurusan kewangan berhemat, kawalan kos dan pengagihan semula sumber, WARISAN meningkatkan Dana Pembayaran Balik Bon daripada RM400 juta kepada RM1 bilion dalam tempoh setahun bagi memastikan bon itu dapat lunas sepenuhnya mengikut jadual.

RM500j BELANJA DI NEGERI LAIN?

Bagaimanapun, kata Mohd Shafie, bon itu menimbulkan persoalan besar kerana Masidi ketika masih ahli Kabinet BN ketika itu tidak menjelaskan kewajaran penggunaan RM1 bilion bon dan sama ada rakyat Sabah mendapat manfaatnya.

Beliau mendapati makluman RM500 juta daripada hasil bon itu sebenarnya dibelanja di negeri lain dan bukan di Sabah.

“Jika benar, ini bermakna separuh daripada beban hutang yang ditanggung rakyat Sabah selama lima tahun tidak memberi kesan kepada penambahbaikan infrastruktur, perkhidmatan atau pembangunan di negeri ini.

“Inilah pentadbiran BN yang meninggalkan Sabah dengan hutang semakin meningkat, rizab menyusut dan projek mega yang meragukan. Jika mereka ‘berhemat’, mengapa Dana Pembayaran Balik Bon jauh daripada jumlah yang diperlukan untuk bayaran pada 2018?

“Mengapa begitu banyak wang pinjaman dimanfaatkan oleh negeri lain dan bukan Sabah?,” katanya.