KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun membidas dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal bahawa bayaran balik bon RM1 bilion pada 2019 adalah kejayaan luar biasa pentadbiran Warisan.
Menurut Masidi, kenyataan Shafie itu “mengelirukan” kerana jadual bayaran balik tersebut sebenarnya telah ditetapkan sejak Disember 2014, jauh sebelum Warisan mengambil alih pentadbiran.
“Bon Kerajaan Negeri Sabah RM1 bilion (2014/2019) diwajibkan oleh Bank Negara Malaysia untuk disertakan Tabung Amanah Pelunasan (Sinking Fund). Setiap tahun, RM200 juta diperuntukkan selama lima tahun — tidak kira siapa yang memerintah,” jelasnya.
Rekod menunjukkan peruntukan dibuat secara berperingkat: RM2 juta (2016), RM200 juta (2017), RM400 juta (2018) dan RM380 juta (2019), manakala baki RM18 juta datang daripada faedah pelaburan tabung tersebut.
“Dakwaan kononnya Warisan ‘mencari’ RM600 juta dalam masa beberapa bulan adalah mitos politik. Wang itu sudah ada, hasil perancangan kewangan kerajaan sejak 2014,” tegas Masidi.
Beliau turut menolak tuduhan bahawa RM500 juta hasil bon dibelanjakan di luar Sabah, menyifatkannya sebagai “tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.”
Berdasarkan rekod rasmi, kata Masidi, keseluruhan RM1 bilion digunakan untuk negeri Sabah — RM544 juta bagi membayar bon 2009 dan RM456 juta lagi untuk projek pembangunan di bawah Belanjawan Negeri 2014.
“Bayaran balik bon ini bukan ‘hadiah’ atau kejayaan politik, tetapi kewajipan undang-undang dan kontrak. Disiplin kewangan yang membolehkan pembayaran ini telah diwujudkan pada 2014, bukannya pada 2018,” katanya.
Masidi menegaskan, rakyat Sabah berhak mendapat kebenaran yang disokong fakta, bukannya naratif politik yang memutar belit angka demi keuntungan pihak tertentu.
