KOTA KINABALU : Akademi Tahsin Al-Quran Negeri Sabah (AHSANS) akan diwujudkan dan dijangka mula beroperasi pada tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata, akademi bertujuan mencari serta membimbing golongan muda berpotensi dalam bidang Al-Quran di negeri ini.
Katanya, akademi ini berada di bawah JHEAINS serta bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
“Strategi diambil dalam pelaksanaan akademi itu antaranya termasuklah mengadakan jelajah ke seluruh daerah dan bahagian bagi mendapatkan anak-anak boleh kita bimbing.
“Kita akan pilih satu tempat khas untuk peserta akademi ini dan untuk sementara waktu kita akan wujudkan di Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sabah (ITQAS),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Tilawah Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Sabah 1446H/2025M bagi kategori Tilawah Remaja Akhir, di sini semalam.
Mohd Arifin merupakan Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, berkata anak-anak yang berpotensi itu akan didedahkan untuk melihat perkembangan tilawah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kita juga akan beri mereka peluang untuk ke Indonesia dan beberapa negara yang boleh memberikan mereka pengalaman bersama dengan guru-guru Al-Quran di tempat berkenaan,” jelas Mohd Arifin.
Menurutnya, budaya membaca Al-Quran di kalangan anak muda harus dikembangkan berikutan ramai dalam kalangan mereka berpotensi digilap sehingga boleh melahirkan tokoh Al-Quran.
“Hari ini kita menyaksikan peserta kategori remaja Majlis Tilawah Al-Quran, saya lihat ada potensi, kita bakat mereka sehingga dalam akademi nanti.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian ini, kita akan kembangkan budaya membaca atau budaya taranum Al-Quran di kalangan anak-anak muda,” kata Mohd Arifin.
