KOTA KINABALU : Pengguna dinasihatkan bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air dijadualkan 7 Februari bermula jam 2.00 petang.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata, penutupan ini membolehkan kerja-kerja pembaikan segera dijalankan ke atas kebocoran dikesan paip berukuran 1200 mm terletak di hadapan Skyline SIB, Jalan Penampang.
Katanya, kebocoran dikenal pasti pada paip washout tegak (upstand) berukuran 250mm, dipercayai berpunca daripada tekanan beban lateral dari ruang washout.
“Kerja-kerja pembaikan akan merangkumi penggalian kawasan terjejas, mengenal pasti punca kebocoran dan membaiki paip yang rosak.
“Keseluruhan proses dijangka mengambil masa sekitar 12 jam untuk disiapkan.
“Sepanjang tempoh pembaikan, Loji Rawatan Air Moyog akan beroperasi pada kapasiti terhad, menghasilkan hanya 109 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti biasa sebanyak 187 MLD,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahelmey merupakan Menteri Kerja Raya berkata, kerja-kerja penutupan ini akan mengakibatkan
pengurangan sebanyak 41 peratus dalam pengeluaran air terawat.
“Pengguna di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, termasuk kawasan seperti Pusat Bandar KK, Kepayan, Tg. Lipat, Kolombong, Inanam, Luyang, Bukit Padang, Penampang, Kobusak, KDCA, Jalan Penampang Baru.
“Ini termasuk Jalan Pintas, Donggongon, Jalan Panglima Banting/Country Heights Apartments, Jalan Bundusan, Beverly Hills Apartments, Putatan, Kg.Ketiau, Petagas dan kawasan sekitarnya, dijangka mengalami tekanan air rendah atau gangguan sementara bekalan air,” jelasnya.
Menurutnya, bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air ini, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sehingga bekalan kembali pulih sepenuhnya.
“Pasukan teknikal yang dilantik akan bekerja sepanjang masa bagi memastikan pembaikan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk mengurangkan impak kepada pengguna,” kata Shahelmey.
