14,209 anggota penyelamat bersedia hadapi Bencana Monsun Timur Laut – Hajiji

KOTA KINABALU : Seramai 14,209 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat serta keselamatan bersiap sedia menghadapi Bencana Monsun Timur Laut (MTL) dijangka berlaku antara Februari dan Mac tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, mengikut laporan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip jangkaan itu mengikut luruan monsun berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak.

Katanya, semua Pegawai Daerah merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dibekukan cuti untuk menghadapi MTL pada kali ini.

“Setakat ini, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA dan lain-lain bersiap menghadapi Bencana Monsun Timur Laut dijangka berlaku antara Februari dan Mac tahun ini.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan logistik untuk menghadapi menghadapi Bencana Monsun Timur Laut adalah sebanyak 1,456 melibatkan logistik darat, air dan udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas terlibat dalam operasi menyelamat serta pemindahan mangsa ke lokasi lebih selamat semasa bencana banjir berlaku.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan, setakat jam 12 tengah hari, pada Jumaat, seramai 5725 mangsa, 1,939 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 73 kampung terjejas banjir.

Sebanyak 10 daerah dan daerah kecil terlibat bencana banjir iaitu Beaufort, Kota Marudu, Paitan, Beluran, Kota Belud, Lahad Datu, Tongod, Telupid, Sandakan dan Pitas.

Bermula daripada 29 Januari 2025 sehingga 12.00 tengahari hari ini sebanyak 39 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan di seluruh negeri.

Namun demikian, terdapat beberapa PPS juga dijangka akan ditutup pada hari ini setelah pemeriksaan kawasan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana selamat untuk didiami kembali.