Kecemerlangan kepimpinan TYT sebagai bekas Ketua Menteri membantu bangunkan Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Kecemerlangan kepimpinan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman sebagai Ketua Menteri sebelum ini, boleh dijadikan panduan dalam mentadbir dan membangunkan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, jasa dan bakti serta legasi Musa pada masa lalu sebagai bekas Ketua Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah negeri Sabah.

Katanya, pelbagai kemajuan dan pembangunan, sudah pasti membantu membangunkan lagi negeri ini.

“Sesungguhnya, pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu adalah bertepatan dan sesuai dengan pengalaman yang luas dan khidmat bakti kepada negeri Sabah sebelum ini.

“Saya percaya dan berkeyakinan bahawa pelantikan itu, mampu mengangkat martabat negeri Sabah ke satu tahap yang lebih cemerlang.

“Ini sekali gus sesuai dengan pengalaman luas Tuan Yang Terutama Tun selama 15 tahun memimpin negeri ini di bawah kerajaan negeri yang terdahulu,” katanya di sini semalam.

Hajiji berkata, beliau yakin Sabah akan lebih berupaya maju ke hadapan di samping mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum yang sedia terjalin sejak sekian lama.

“Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, dengan kekayaan dan keindahan alam semula jadinya, dengan kekayaan nilai budaya dan adat tradisi suku kaumnya.

“Sabah berpotensi besar untuk dibangunkan ke tahap lebih tinggi dalam pelbagai sektor pembangunan,” jelas Hajiji.

Menurutnya, berpaksikan kepada Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang bermatlamat untuk membangunkan negeri Sabah secara holistik.

“Kita mengajak seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini, eratkan kerjasama, kukuhkan perpaduan, perbaharui azam menjadikan Sabah lebih maju akan mudah tercapai.

“Sebagai anggota penjawat awam yang menggerakkan jentera kerajaan, dan selaku peneraju sektor swasta; ketiga-tiga entiti besar ini wajar mempertingkatkan kerjasama dan memperkukuhkan strategi ke arah mencapai kemajuan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat,” kata Hajiji.