Mangsa terakhir kejadian lemas di Pantai Kampung Bundusan ditemukan

PAPAR : Seorang lelaki merupakan mangsa ketiga terlibat dalam insiden lemas berjaya ditemukan kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian di Pantai Kampung Bundusan, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, mayat mangsa berusia 48 tahun ditemukan jam 12.02 tengah hari selepas dua hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pihak bomba.

Katanya, mangsa dipercayai terapung kemudianya ditemukan oleh pasukan bomba di kawasan radius pencarian membabitkan mangsa dilaporkan hilang.

“Teknik pencarian operasi di permukaan air (Surface Water Rescue) berjaya menemukan mangsa pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

“Mangsa seterusnya dibawa ke tepi pantai dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rozlan berkata, Bomba kemudiannya memyerahkan mayat mangsa kemudian kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi pencarian ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.32 petang tadi,” jelas Rozlan.

Dalam kejadian Khamis lalu, dua mangsa berusia 14 dan tujuh tahun ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus ombak ketika mandi di Pantai Bundusan Kampung Bundusan, Papar.

Seorang mangsa kanak-kanak berusia 12 tahun berjaya diselamatkan penduduk kampung, manakala seorang lagi mangsa terakhir berusia 48 tahun hilang dalam kejadian itu.