KOTA KINABALU : Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) memainkan peranan yang amat signifikan dalam menjayakan hala tuju Sabah Maju Jaya dan pembangunan masyarakat MADANI.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata ini kerana USIA berperanan sebagai suara penghubung di antara Kerajaan dan masyakarat di Sabah.
Katanya, USIA boleh menjadi rujukan dalam konteks dakwah, pendidikan dan pembangunan masyakarat, dibantu dengan barisan kepimpinan yang diyakini penduduk setempat.
“Ini sekali gus akan membantu dalam pendaya upayaan masyarakat ke arah mencapai nilai kemampanan dan kesejahteraan dalam agenda negara berdasarkan komposisi yang dinamik berpandukan reprezentasi bahagian yang diwakili,” katanya di sini hari ini.
Arifin menyeru saf pimpinan USIA agar menumpukan sepenuh komitmen bagi menjayakan segala dasar dan strategi Pelan Strategik Pembugaran serta program-program USIA di lapangan samada bersama pihak Kerajaan ataupun NGO-NGO yang lain.
“Segala tugasan yang diamanahkan kepada semua pimpinan samada di peringkat Cawangan, Bahagian mahupun Pusat harus ditunjangi dengan keikhlasan, beramanah dan diusahakan secara optimum bagi membuahkan hasil yang substantif,” katanya.
Arifin turut menekankan pentingnya sifat hormat menghormati sesama insan.
“Hormat ini juga merupakan nilai tonggak dalam agenda Malaysia MADANI,” katanya.
Hadir sama, Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad.
