30 rumah rosak akibat angin kencang di Semporna

SEMPORNA : Dianggarakan 30 rumah termasuk sebuah masjid di kawasan dua perkampungan atas air terjejas teruk akibat angin kencang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Madzlan Sarman berkata, kejadian dilaporkan pada jam 4.30 pagi menyebabkan 20 kenderaan rosak namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian angin kencang itu, pada jam 6.21 pagi.

“Pihak bomba bersama lima anggota dan pegawai membabitkan dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, terdapat beberapa rumah di perkampungan atas air iaitu Kampung Selamat dan Seri Aman, mengalami kerosakan dan termasuk ada yang roboh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Madzlan berkata, pemeriksaan mendapati terdapat 20 rumah rosak dan roboh manakala lima kenderaan didapati terjejas.

“Turut rosak bumbung adalah membabitkan sebuah Masjid Kampung Selamat diterbangkan angin dalam kejadian pagi tadi.

“Manakala di Kampung Seri Aman, sebanyak 10 rumah dan 15 kenderaan rosak akibat daripada angin kencang,” jelas Madzlan.

Menurutnya, kejadian itu juga menyebabkan berlaku litar pintas dan pemantauan dijalankan oleh pasukan bomba dan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memastikan tiada bahaya lain.

“Kejadian hanya merosakkan harta benda sahaja, setakat ini tiada mangsa dilaporkan cedera atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Pasukan bomba bersama SESB menjalankan pemantauan dan operasi ditamatkan pada jam 7.38 pagi selepas tiada bahaya lain yang wujud,” kata Madzlan.