Cermin diri dahulu sebelum gesa Hajiji Noor letak jawatan – Norazian

KOTA KINABALU : Ketua Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO Sabah perlu ‘Cermin Diri’ sendiri terlebih dahulu sebelum menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor meletak jawatan.

Ketua Wanita Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Norazian Dumit berkata, situasi ini pernah berlaku kepada parti mereka tetapi memilih untuk mengekalkan ketua demi kestabilan dalaman politik.

Katanya, pemimpin UMNO Sabah terpalit isu fitnah rasuah, terdapat desakan meletak jawatan membabitkan kepimpinan parti berkenaan.

“Keadaan ini menyebabkan berlakunya perpecahan secara dalaman sehingga membolehkan UMNO jatuh malah hampir terkubur seterusnya memberi kesan kepada banyak pihak.

“Situasi sama berlaku di Sabah…Adakah hanya dengan suntingan video yang jelas terlihat dirancang belum sahih dan diputuskan siasatan pihak berwajib, Hajiji harus meletak jawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Desakan itu tidak adil kerana dalam kes ini belum ada pendakwaan dan keputusan mahkamah dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Norazian berkata, kenyataan berkaitan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai pengurusan sumber asli Sabah secara menyeluruh dilihat sebagai satu usaha membenarkan campur tangan pihak luar.

“Langkah ini bertentangan keinginan rakyat Sabah yang berkonsepkan ‘Sabah untuk Sabahan’ dan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.

“Mereka harusnya sedar perubahan politik di Sabah dalam beberapa siri PRU Dan PRN sebelum ini adalah kerana keinginan rakyat Sabah untuk berdiri sendiri menentukan hala tuju pembangunan negeri,” jelas Norazian.

Menurutnya, desakan meletak jawatan ini juga dilihat bakal menggugat usaha menjadikan Sabah berdikari menjadi seperti Sarawak.