Sabah yakin mencapai sasaran 3 juta ketibaan pelancong akhir tahun ini – Hajiji

KOTA KINABALU : Sabah akan mencapai sasaran tiga juta ketibaan pelancong memandangkan kini sejumlah 2.42 juta ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa berjaya direkodkan sehingga suku ketiga tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ia adalah pencapaian membanggakan dan mencerminkan usaha semua pihak untuk memastikan sektor pelancongan Sabah terus berkembang maju. 

Katanya, beliau yakin menjelang akhir tahun ini, sasaran tiga juta ketibaan pelancong dapat dicapai.

“Berpandukan kejayaan ini, kita akan terus mempertingkatkan infrastruktur pelancongan dengan memberi fokus kepada pelancongan bernilai tinggi dan lestari yang menonjolkan kekayaan alam semula jadi serta budaya Sabah.

“lebih banyak boleh dilakukan untuk menarik pelancong ke Sabah. Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian atau produk dan perkhidmatan yang sedia ada,”katanya pada Malam Penghargaan Pelancongan Sabah di sini, semalam.

Teks ucapannya disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.

Hajiji berkata, untuk terus bersaing serta kekal relevan, Sabah mesti proaktif dalam memperkenalkan produk baharu dan meningkatkan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak pelancong, sama ada yang baharu pertama kali datang atau datang semula.

“Saya gembira melihat banyak usaha telah dilakukan oleh pasukan Lembaga Pelancongan Sabah untuk mempromosikan Sabah dengan bekerjasama bersama industri dalam mewujudkan inisiatif menang-menang.

“Saya berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama inklusif, khususnya melalui usahasama berkesan diantara pelancongan Sabah dan pemain industri,” jelas Hajiji.

Menurutnya, ini sama ada di peringkat dalaman atau luaran, untuk mencari jalan ke hadapan bagi memajukan industri pelancongan serta memastikan sektor ini terus menjadi pemacu utama ekonomi Sabah.