Tiada balak dilaporkan di kawasan Kilang Klinker di Tongod – Masiung

TONGOD : Tiada balak dalam kawasan bukit batu kapor dicadangkan untuk kilang klinker dan simen di Kampung Kayawoi di Tongod.

Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd ( BCS) Datuk Masiung Banah berkata, pada awalnya terdapat sisa kayu balak di kawasan rendah tetapi aktiviti pembalakan sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu sebelum kilang ini dicadangkan.

Katanya, dakwaan kononnya syarikat itu turut melakukan pembalakan semasa menjalankan kerja-kerja tanah bagi membina laluan ke tapak kuari kilang tersebut adalah tidak benar.

“Hampir keseluruhan kawasan Bukit Batu Kapor yang dilesenkan oleh Penilaian Kesan Kepada Alam Sekililing (EIA) kurang ditumbuhi kayu kayan.

“Kerja-kerja fasa pertama yang kini dilesenkan EIA ialah pembinaan tapak kuari, kerja tanah dan membina jalan ke lokasi yang padat dengan lapisan batu kapor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika  melawat kerja-kerja fasa pertama di tapak kuari BCS di Kampung Susui di sini, semalam.

Katanya, hampir keseluruhan jajaran bukit batu kapor di kawasan itu yang dilesenkan oleh Penilaian Kesan Kepada Alam Sekililing (EIA) kurang ditumbuhi kayu kayan.

Masiung merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, pihaknya tidak akan melanggar tata kelola yang disyaratkan oleh EIA.

“Lagipun setiap inci kerja-kerja kami di kawasan ini dipantu sepenuhnya oleh Jabatan Alam Sekitar,” jelas Masiung.

Cadangan kilang itu membabitkan kos pelaburan RM1.2 bilion hasil usahasama Kerajaan Negeri, Sri Alam Setia Sdn Bhd menubuhkan BCS serta Sinoma Industry Bhd syarikat pengeluar simen terbesar China.

Seluas 500 ekar kawasan klinker diwartakan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) untuk projek tersebut dan 200 ekar lagi diberikan kepada BCS untuk tapak kuari, kilang pejabat dan kurtes pekerja.