KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri belum mempunyai rancangan untuk membina atau menaik taraf pejabat Jabatan Tanah Dan Ukur daerah Ranau.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, walau bagaimanapun kerajaan mengambil maklum keadaan pejabat Jabatan Tanah Dan Ukur daerah Ranau yang sempit serta kurang kondusif.
Katanya, perkara ini akan dikaji terlebih dahulu untuk mengetahui keperluan sama ada ia perlu dinaik taraf atau mewujudkan sebuah pejabat baharu.
“Permohonan projek ini nanti akan dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
“Berkaitan status terkini pembinaan pejabat Jabatan Tanah Dan Ukur di daerah Telupid, kerja-kerja Penyiasatan Tanah bertujuan mengumpul maklumat serta penilaian data,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Dilantik) Datuk Amisah Yassin serta ADUN Telupid adakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk membina Pejabat baharu Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Ranau serta Telupid memandangkan kini pejabat tersebut terlalu sempit dan perlu dinaik taraf.
Menurut Nizam, langkah ini bagi membolehkan kerajaan dapat mengetahui potensi bahaya tapak akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada awal tahun hadapan.
“Sebaik sahaja kerja-kerja penyiasatan tanah dan tapak dikenal pasti, pihak Jabatan Kerja Raya akan membuat reka bentuk bangunan serta anggaran kos bagi pembinaan bangunan tersebut,” jelas Nizam.
