Kursus kemahiran jana pendapatan sampingan kepada penduduk di peringkat kampung – Nizam

TAWAU : Usaha Ketua Kampung Kinabutan Bukit Tawau aktif menganjurkan program menjana pendapatan sekali gus dikenal pasti mampu memberi pulangan lumayan kepada seluruh penduduk di kawasan mereka.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program kemahiran termasuk kursus asas melibatkan jahitan, kraftangan, masakan dab sebagainya mampu menambah pendapatan sampingan keluarga mereka.

Katanya, beliau mahu agar program seumpama ini dapat dilaksanakan secara lebih kerap sebagai program atau aktiviti bulanan serta tahunan dilaksanakan di peringkat kampung.

“Saya memberi pujian sambil menyambut baik usaha dilaksanakan ini serta akan menyokong kepada setiap program untuk kebaikan semua rakyat khususnya di kawasan ini.

“Kita mengharapkan agar semua peserta terlibat dalam kursus ini akan dapat memanfaatkan segala ilmu dipelajari sekali gus sentiasa meningkatkan kemahiran pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sukaneka Kampung dan Bengkel Jahitan di Kampung Kinabutan Bukit, di sini semalam.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, beliau yakin berbekalkan kemahiran yang diperolehi peserta kursus ini akan dapat menggunakan segala ilmu ini dengan sebaik mungkin.

“Ketika ini beberapa agensi kerajaan dan swasta menyediakan kursus secara percuma khususnya kepada golongan wanita serta suri rumah.

“Saya mengesa agar pemimpin di peringkat kampung disaran untuk berkolaboratif bersama pelbagai agensi untuk menawarkan latihan kemahiran atau program jangka masa pendek kepada masyarakat di DUN Apas ini,” jelas Nizam.