RANAU : Seorang warga emas maut selepas dihempap sebatang pokok semasa menjalankan aktiviti memotong kayu di kebun di kawasan Kampung Tarawas Ranau, di sini semalam.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Penolong Pengusaha Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, mangsa seorang lelaki berumur 67, disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 1.16 tengahari semalam.
“Bomba bersama seramai lima anggota dari Balai Bomba Ranau diketuai Komander Operasi PBK II Wasli Saupin kemudiannya bergegas ke lokasi tersebut pada jarak 32 kilometer,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ridwan berkata, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kejadian, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 2.30 petang semalam.
