TENOM : Kerajaan negeri memberi jaminan akan memastikan sebahagian tanah dalam kawasan Sabah Forest Industry (SFI) di daerah ini dikeluarkan dan diwartakan sebagai tanah perkampungan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beberapa ribu hektar tanah dalam kawasan konsesi perhutanan syarikat berkenaan sudah dikenal pasti untuk dikeluarkan supaya penduduk dapat terus mendudukinya secara sah.
Katanya, beliau juga akan mengarahkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) untuk melaksanakan program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) di daerah ini.
“Ini bagi menyelesaikan tanah yang sudah lama diduduki dan diusahakan penduduk kampung dapat disukat dan dikeluarkan geran kepada pemiliknya.
“Saya nyatakan bahawa kita akan memastikan beberapa ribu ekar tanah dalam SFI dikeluarkan untuk perkampungan rakyat kita di Tenom,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kemabong di Dewan Sri Ontoros, Kemabong di sini hari ini.
Hajiji merupakan Presiden Gagasan Rakyat Sabah berkata, begitu juga tanah yang belum disukat, beliau akan minta Pengarah JTU untuk menggunakan program PANTAS bagi mengukur tanah penduduk supaya tanah yang sudah lama diusahakan diberikan geran.
Menurutnya, beliau memberikan maklum balas terhadap beberapa usul dikemukakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kemabong, Datuk Rubin Balang berkaitan dengan kepentingan rakyat kawasan itu.
Bercakap pada sidang media selepas itu, Hajiji berkata beliau akan memanggil syarikat berkenaan bagi membincangkan usul untuk mengeluarkan sebahagian daripada tanah SFI itu.
