Umat Islam diingatkan tidak terperangkap dalam zon selesa – Hajiji

KOTA KINABALU : Umat Islam di negeri ini diingatkan agar tidak terus terperangkap dalam zon selesa dan beranggapan nasib serta masa depan kaum bumiputera tetap terjamin dan terbela.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima  Hajiji Noor berkata, umat Islam wajar keluar dari kepompong zon selesa dengan menerapkan budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu, berfikir di luar kotak untuk memajukan diri, bangsa dan negara.

Katanya, sambutan Maulidur Rasul  diadakan bukan sekadar untuk memperingati dan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW semata-mata.

“Sebaliknya, salah satu wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan membebaskan diri daripada perangkap zon selesa (complacency) terutama sekali di kalangan anak-anak muda dan belia muslim dewasa ini.

“Selaras dengan sifat serta sikap Nabi Muhammad SAW yang meskipun maksum, dikasihi Allah dan dijamin masuk syurga, namun tetap tekun dan istiqamah melaksanakan amal ibadat dengan sempurna.

“Budi pekerti Rasulullah ini memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah mengikis sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada,sebaliknya perlu sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, pengajaran ini seharusnya digarap secara positif oleh generasi muda Islam hari ini jika tidak ingin ketinggalan dalam mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan.

“Pengurusan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk yang berkaitan dengan teknologi baharu seperti industri digital, Internet of Things, kecerdasan buatan (AI).

“Penggunaan robotik dan sebagainya akan meletakkan masyarakat ummah setaraf dengan bangsa-bangsa lain yang lebih maju di dunia,” jelas Hajiji.

Menurutnya, pendekatan kerajaan mengajak rakyat mengenang kejayaan Rasulullah SAW membina ummah yang berjaya adalah selaras dengan hasrat murni untuk membangunkan sektor sumber manusia dan modal insan.

“Modal insan yang berkualiti adalah pra syarat terpenting dalam mencapai wawasan negeri dan negara, kerana tanpa nilai atau kualiti yang tinggi.

“Negara akan menjadi lemah dan tidak mampu untuk bersiang dalam apa jua bidang dan arena di peringkat antarabangsa.

“Justeru hasrat murni kerajaan ini, bukan sahaja harus disambut baik oleh seluruh rakyat, bahkan harus disokong dan didukung oleh masyarakat ummah, demi kemajuan yang berterusan dan kesejahteraan yang berkekalan,” kata Hajiji.