SAFMA Buka Peluang Kepada Peruncit Tempatan untuk Sertai Program Ikan Rakyat

KOTA KINABALU : Sabah Fish Marketing (SAFMA) mengumumkan pembukaan tawaran kepada peruncit tempatan, khususnya di kawasan pedalaman, untuk mendapatkan bekalan ikan murah di bawah Program Ikan Rakyat di negeri ini.

Pengurus Besar SAFMA, Syed Mohd Hamizan Roslan berkata, program ini menawarkan pelbagai jenis ikan segar pada kadar harga istimewa, iaitu RM6.99 sekilogram.

Katanya, ini bagi membantu pengguna mendapatkan sumber protein yang berkualiti pada kadar yang mampu milik.

“Langkah ini juga diharap dapat meningkatkan keterlibatan peruncit tempatan dalam rangkaian bekalan makanan laut, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Program ini akan memberi manfaat kepada pengguna di kawasan pedalaman yang sering menghadapi cabaran untuk mendapatkan bekalan ikan segar dengan harga berpatutan,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Syed Mohd Hamizan berkata, SAFMA terus komited dalam usaha memastikan bekalan makanan laut yang berkualiti dan mampu milik dapat dinikmati semua lapisan masyarakat di Sabah.

“Kami berharap program ini dapat memberi peluang kepada peruncit tempatan untuk memperluaskan perniagaan mereka sambil membantu masyarakat mendapatkan ikan segar dengan harga yang lebih rendah.

“Peruncit yang berminat untuk menyertai Program Ikan Rakyat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi pegawai SAFMA, En. Owen di talian 014-370 3317,” jelas Syed Mohd Hamizan.