KOTA KINABALU: Semua perhatian kini tertumpu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual mempengerusikan sendiri mesyuarat MA63 di Sabah pada 12 September ini.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Pusat, Razeef Rakimin berkata, perbincangan antara lain bertujuan mencari penyelesaian isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 itu amat signifan, dengan penekanan khusus kepada 40 peratus tuntutan hasil kepada Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, walaupun beberapa tokoh politik tempatan menyatakan keraguan tentang komitmen Perdana Menteri untuk menangani isu mendesak itu sekali gus yakin mesyuarat berkenaan dapat membuahkan hasil positif.
“Kita optimis mesyuarat MA63 ini akan menghadiahkan “berita baik” kepada jutaan rakyat Sabah yang menyambut Hari Malaysia pada 16 Sept ini.
“Kami, dalam PKR Sabah, amat yakin bahawa PMX berkemampuan untuk menyelesaikan isu dengan sebaik mungkin. Harapan kami ialah perbincangan MA63 ini akan menyelesaikan sebarang kekangan yang boleh menghalang pelaksanaan penuh perjanjian itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Razeef menegaskan bahawa sejak parti nasional PKR ditubuhkan pada 1999, ia telah memperjuangkan hak-hak negeri Sabah, termasuk isu MA63 seperti yang termaktub dalam Perkara 5.8 perlembagaan parti tersebut.
“Anwar, sebagai perdana menteri selama lebih setahun lapan bulan, telah mencapai kemajuan yang amat membanggakan.
“Rentak kemajuan atau pembaharuan di bawah kepimpinan Anwar jelas lebih pantas berbanding sebelum ini, terutama di Sabah….saya rasa dengan adanya perbincangan meja bulat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak nanti, isu tuntutan 40 peratus yang berlarutan ini dapat diselesaikan,” jelas Razeef.
Menurutnya, parti itu akan tetap menggunakan sama ada logo PH atau PKR bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang, sekali gus menolak spekulasi bahawa mereka akan menggunakan logo GRS seperti yang dicadangkan oleh sesetengah pihak di media sosial.
“Kita akan menganjurkan Perbincangan Meja Bulat Keadilan mengenai MA63 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 15 September.
“Perbincangan meja bulat itu antara lain bertujuan merungkai isu berbangkit berkaitan MA63, dan ia dijangka dihadiri wakil dari Sabah dan Sarawak,” kata Razeef.
