KOTA KINABALU: Sebelas individu termasuk tiga warganegara Malaysia yang ditahan selepas disyaki memasuki perairan Filipina secara haram pada Ahad lalu akan diterbangkan ke Manila hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka dihantar ke Manila untuk proses dokumentasi, sebelum pengusiran dilakukan pihak berkuasa Filipina.
“Selebihnya empat lagi warganegara Malaysia masih ditahan di selatan Filipina untuk proses siasatan pemilikan bot.
“Kes memasuki perairan Filipina itu melibatkan bot, jadi kerajaan di sana menahan bot berkenaan dan akan mengetahui siapa pemilik bot berkenaan,” katanya di sini semalam.
Ahad lalu, pihak berkuasa Filipina dilapor menahan 15 individu terdiri tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China selepas mereka disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.
Memetik laporan Philippines News Agency (PNA), Pesuruhjaya Biro Imigresen (BI) Filipina Norman Tansingco, melalui kenyataan berkata mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di Wilayah Selatan negara berkenaan.
